TEAM SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Walau tidak lagi memerintah negeri Sabah ketika ini, pentadbiran kerajaan Warisan di bawah pimpinan Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal masih memberi manfaat kepada industri di Sabah.
Usaha memperkenal Sabah New Deal untuk memulihkan kembali ekonomi Sabah dilihat satu langkah bijak diambil kerajaan pimpinan Mohd Shafie.
Hari ini, Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar memaklumkan peruntukan sejumlah lebih RM2 juta di bawah Sabah New Deal akan memberi manfaat kepada 503 agensi pelancongan dan pengembaraan di Sabah.
Bantuan secara one-off berjumlah RM4,000 itu sudah pasti membantu agensi pelancongan untuk kembali bangkit dan beroperasi setelah hampir sepanjang tahun terkesan dengan pandemik Covid-19.
Pakej Sabah New Deal dilancarkan oleh Mohd Shafie pada 18 Jun lalu dengan peruntukan RM240 juta bertujuan untuk mengaktifkan semula, memulih dan menyuburkan kembali sektor-sektor ekonomi yang terjejas susulan pandemik Covid-19.
Melalui pakej itu, sektor pelancongan menerima peruntukan RM22 juta sebagai usaha pemulihan sektor pelancongan.
Dalam tempoh dua bulan pertama tahun ini, Sabah mengalami kerugian sebanyak RM320 juta hasil pelancongan berbanding bagi tempoh Jan-Feb tahun lalu.
Malah, Sabah kehilangan 340,000 kehadiran pelancong bagi tempoh sama, iaitu antara 40 hingga 60 peratus.
https://thesabahtoday.news.blog/2020/12/09/usaha-shafie-apdal-bantu-industri-terjejas-kini-terbukti/
