KOTA KINABALU: Majlis Keselamatan Negara (MKN) diminta mengambil pertimbangan baharu terhadap rakyat Sabah yang terpaksa membelanjakan wang untuk melakukan saringan Covid-19 setiap kali melakukan perjalanan antara Sabah – Semenanjung.
Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kos penerbangan yang ditanggung ketika ini sudah terlalu mahal terutama bagi yang berkeluarga menyebabkan kebanyakan rakyat terbeban dengan kos ujian saringan.
Timbalan Ketua Menteri 1 Sabah itu berkata, dalam beberapa kes, ada penerbangan yang terpaksa ditunda menyebabkan ujian saringan Covid-19 tidak boleh digunakan dan perlu melakukan ujian sekali lagi yang perlu dibayar.
“Kos sara hidup rakyat Sabah dari Kuala Lumpur makin meningkat. Apa tidaknya, rakyat sabah terpaksa menghadapi isu tentang balik ke sabah.
BUNG MOKTAR
“Kos semakin meningkat dan mahal, mana nak beli tiket mana nak SWAB, kalau bujang atau berseorangan nak balik sendiri pun terpaksa bajet betul-betul, bagaimana pula yang bersama keluarga, kalau suami, isteri dan anak empat orang bukankah kos terlalu tinggi dan meningkat.
“Kena buat SWAB tests lepas itu dapat email flight ditangguh ke hari yg lain, keputusan atau keputusan SWAB ni cuma pakai selama tiga hari, penerbangan seterusnya kena SWAB lagi, keluar duit lagi,” katanya di laman Facebook beliau.
Bung berkata, MKN serta pihak berkuasa perlu bertanggungjawab memahami masalah yang terpaksa ditanggung oleh rakyat Sabahx
Tegasnya, rakyat Sabah bukan sesuka hati melakukan perjalanan Semenanjung – Sabah sebaliknya atas tujuan tertentu.
“Saya harap pihak MKN dan lain-lain pihak yang bertanggungjawab, prihatin dan memahami keadaan serta kesan yang dihadapi oleh rakyat Sabah yang perlu melalui keadaan seumpama ini.
“Sebab mereka ini bukan suka hati untuk pergi balik akan tetapi mereka terpaksa kerana ada sebab-sebab tertentu yang perlu dibuat,” katanya.

