
Parti Warisan Sabah (WARISAN) mencabar Kerajaan Perikatan Nasional (PN) untuk menyelesaikan segera masalah imigran di Sabah dengan menghantar golongan tersebut pulang terutama selepas wujud ‘kerjasama politik’ antara Sabah dan Persekutuan.
Naib Ketua Wirawati WARISAN, Jo-Anna Sue Henley Rampas berkata, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin perlu menunaikan janji tersebut kerana adanya kerjasama politik berkenaan.
“Sudah hampir setahun sejak PN mengambil alih Kerajaan Persekutuan, namun masih belum ada langkah utama menghantar pulang pendatang asing tanpa izin (PATI) selain penguatkuasaan sedia ada iaitu menangkap dan menahan mereka yang dilaksanakan oleh polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di bawah Kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini, Muhyiddin merupakan individu yang bertanggungjawab memperkenalkan Pas Sementara Sabah (PSS) kepada Kerajaan Sabah sebagai langkah penyelesaian terhadap PATI.
Kerajaan WARISAN kemudiannya menguar-uarkan cadangan tersebut tetapi dibatalkan selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kimanis.

JO-ANNA RAMPAS
Beberapa pemimpin Gabungan Rakyat Sabah (GRS) telah menentang cadangan itu secara lantang dengan membuat pelbagai tuduhan untuk menakutkan masyarakat KDM antaranya ‘WARISAN mesra PATI’ atau ‘WARISAN membantu PATI mendapatkan taraf warganegara’.
Dengan politik semasa menyaksikan beberapa pemimpin ini telah berkuasa dan mempunyai ‘kerjasama politik’, namun gesaan mereka supaya PATI dihantar pulang tiba-tiba sahaja senyap.
“Apabila pemimpin politik yang terdesak menjanjikan bulan dan bintang semasa kempen tetapi gagal melaksanakannya, maka kepercayaan dan rasa hormat rakyat akan hilang.
“Pemimpin PBS seperti Datuk Joniston Bangkuai sebelum ini memetik Akta Imigresen untuk mengesahkan hujahnya bahawa PATI boleh dihantar balik dan Datuk Jahid Jahim yang menjelaskan panjang lebar beza antara Kad Burung-Burung dan cadangan PSS sekarang perlu membuktikan kepada Sabahan bahawa mereka mempunyai kredibiliti untuk menghalau PATI dari Sabah,” katanya.
Katanya, dengan kedudukan GRS yang lemah, Sabahan mempunyai kuasa penentu untuk menuntut gabungan itu meneruskan menghantar pulang PATI.
“NGO, pemimpin komuniti dan individu yang mahu melihat GRS berfungsi secara efisien boleh mendesak mereka bertindak kerana majoriti GRS terlalu kecil.
“Lebih-lebih lagi GRS dibentuk oleh parti-parti yang mencurigai satu sama lain, maka satu cara untuk memastikan mereka bekerja ialah Sabah mendesak.
“GRS juga tidak boleh meletakkan kesalahan kepada WARISAN PLUS sebab mereka sekarang kerajaan. Amat tidak bertanggungjawab untuk melakukan seperti itu, atau mereka boleh membiarkan sahaja WARISAN Plus memimpin negeri,” tambah Jo-Anna.
Anda perlu berdaftar masuk untuk meninggalkan komen.