WARISAN KHAS UNTUK PEJUANG BERPENDIRIAN, JIKA MAHU KELUAR KITA TIDAK HALANG

Parti Warisan Sabah tidak akan menghalang mana-mana individu yang berhasrat untuk meninggalkan parti itu jika mereka berpendapat perjuangan di pihak sebelah lebih baik.

Ketua Bahagian WARISAN Putatan, Datuk Awang Ahmad Shah berkata, politik adalah perjuangan yang memerlukan kesabaran, justeru bagi individu yang tidak mempunyai pendirian, WARISAN tidak akan menghalang hajat mereka.

Beliau bagaimanapun mengingatkan individu-individu tersebut agar jangan sesekali mencerca WARISAN kerana parti itu terbukti yang terkuat dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah 2020, manakala kekalahan yang dialami hanyalah sebuah kemenangan yang tertangguh.

“Jika mereka tiada pendirian dalam perjuangan politik tidak mengapa kita jangan halang mereka untuk keluar parti, mungkin mereka merasakan bahawa parti sebelah yang lebih kecil mampu menjadi tempat untuk berpaut.

AWANG AHMAD SAH

“Cuma saya mahu ingatkan kepada mereka, WARISAN adalah parti yang kuat dan berjaya mendapat 43 peratus undi popular pada PRN baru baru ini, kekuatan ini dan kelemahan kerajaan hari ini, akan memungkinkan WARISAN kembali berkuasa dalam masa yg terdekat, bersabarlah,” katanya dalam satu kenyataan.

Sejak semalam, tular melalui aplikasi WhatsApp mengenai beberapa AJK Bahagian WARISAN Putatan mengumumkan keluar parti untuk menyertai Parti Solidariti Tanah Airku (STAR).

Awang berkata, beliau menyedari ada juga segelintir pemimpin di peringkat bahagian cuba melakukan sabotaj dalam PRN Sabah, namun beliau tidak akan mengambil tindakan.

Katanya, maka adalah lebih baik individu-individu berkenaan meninggalkan sahaja parti kerana mereka bukanlah pejuang politik sebenar yang mendokong pendirian untuk bertahan ketika parti mengalami kesukaran.

“Disabotaj sewaktu pilihan raya pun saya tidak ambil tindakan walaupun bukti cukup. Saya masih lagi minta pandangan Presiden parti, walhal meninggalkan parti lebih baik daripada perbuatan mensabotaj sewaktu pilihanraya.

Jemputan kepada media.

“Tahap kesabaran dan pengorbanan perlu tinggi agar kita lebih dihormati, kita semua bersaudara dan pilihan untuk menyertai mana-mana parti adalah pilihan masing masing,” tegasnya.

Sementara itu, Awang berkata, WARISAN Putatan masih kukuh memandangkan hanya tiga individu yang telah menyatakan meninggalkan parti.

Mereka ialah Ketua Wanita, Noraini Omar dan suaminya Ketua Penerangan, Mohd. Dini Khan serta Kartini Mahady selaku AJK Bahagian Wanita.

Bagaimanapun katanya, amat tidak relevan untuk mereka menyertai parti STAR sedangkan di Putatan, parti itu tidak mempunyai penyokong dan mereka gagal untuk membawa mana -mana penyokong WARISAN yang lain untuk menyertai mereka.

“Alasan yang tidak munasabah untuk mengikuti parti STAR di Putatan yang tidak ramai penyokong.

“Parti WARISAN yang masih revelen di mata pengundi WARISAN Putatan yang kekal menjadi parti tunggal terbesar di sabah,” katanya.