DARURAT: Peluang kepada PN & GRS mengukuhkan kedudukan dan kekuasaan

(Terbitan Ulangan: Sumber Sabah Today)

KOTA KINABALU: Proklamasi darurat yang membawa kepada penggantungan sidang parlimen dilihat akan membuatkan Perikatan Nasional (PN) lebih berkuasa tanpa adanya semak dan imbang melalui parlimen.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kapayan Jannie Lasimbang berkata, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah cukup untuk mengekang penularan pandemik Covid-19 tanpa perlu proklamasi darurat.

“Pengisytiharan proklamasi darurat dan penggantungan parlimen akan menyebabkan PN terus berkuasa membuat sesuatu yang mereka mahukan dan ini akan membawa kepada pelbagai krisis,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Akan bermaharajalela

Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sabah ini berkata, ramai yang percaya tindakan Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta pengisytiharan darurat bermotifkan politik setelah beliau kehilangan sokongan majoriti daripada Ahli-ahli Parlimen.

Jika dilihat selepas proklamasi darurat, CNBC melaporkan saham dan mata wang Malaysia jatuh.

“Kerajaan perlu bersikap lebih jelas dan realistik dalam merangka strategi jangka panjang bagi menangani pandemik ini.

“Selepas pengalaman melaksana PKP tahun lalu, kerajaan seharusnya mempunyai masa yang cukup untuk mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) yang ada untuk membolehkan rakyat dan ahli perniagaan mempunyai masa yang cukup sebelum PKP diumumkan,” jelasnya.

Beliau berkata, pelaksanaan PKP boleh diterima dan ianya satu langkah yang perlu kerana Malaysia tidak boleh membiarkan kes Covid-19 terus meningkat.

Namun, pelaksanaan PKP akan menyebabkan orang ramai berada dalam keadaan yang sukar jadi, kerajaan perlu memainkan peranan meluluskan peruntukan kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi membolehkan rakyat terjejas di kawasan masing-masing dapat dibantu.

Peruntukan yang di diluluskan itu seharusnya boleh menampung kos bantuan barang makanan dan kewangan untuk rakyat terjejas.

“Sebagai wakil rakyat pembangkang, saya akan memantau langkah yang diambil kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan agensi kerajaan berkaitan bagi memastikan rakyat mendapat maklumat yang mencukupi,” ujarnya.