Presiden Pertubuhan Kadazan Dusun dan Murut (KDM) Malaysia, Datuk Peter Anthony merayu agar pelaksanaan proklamasi darurat yang berkuat kuasa ketika ini ditamatkan dengan kadar segera.
Beliau, yang juga Naib Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) berkata, pelaksanaan darurat perlu diberhentikan bagi mengembalikan semula keduduka negara dan negeri Sabah kembali seperti sedia kala.
Katanya, ketika ini rata-rata rakyat di Sabah bukan hanya di luar bandar tetapi juga di bandar berdepan dengan kehidupan yang begitu sukar berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kemudian ditambah dengan darurat.
“Ramai antara rakyat yang kehilangan punca pendapatan dan terpaksa menanggung bebanan perbelanjaan harian.

“Jadi selaku wakil KDM saya merayu kepada Yang diPertuan Agong agar pelaksanaan darurat ini diberhentikan agar kedudukan negara amnya dan Sabah khususnya, kembali pulih seperti sedia kala,” katanya selepas program pengagihan bantuan makanan kepada rakyat terjejas akibat PKP di Kemabong.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Melalap ini berkata, program bantuan yang disumbangkan KDM dan jentera Warisan Tenom itu dilaksana bagi membantu meringankan bebanan rakyat yang terjejas semasa PKP ini.
Tambahnya, bantuan itu akan diteruskan di kawasan lain dalam usaha membantu penduduk yang terkesan dengan PKP dan darurat.
Pelaksanaan darurat bagi membendung penularan Covid-19 di negara ini diisytiharkan pada 14 Jan lalu dan dijadualkan tamat pada Ogos.








Anda perlu berdaftar masuk untuk meninggalkan komen.