Shafie Apdal: Saya Sedia Jadi PM Jika Rakyat Malaysia Mahu

SHAFIE APDAL

OLEH ZARA DEBA
KOTA KINABALU: Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal bersedia menjawat jawatan Perdana Menteri jika itu kehendak rakyat Malaysia dalam pilihan raya umum akan datang.

Bekas Ketua Menteri Sabah itu berkata, berdasarkan pengalamannya selama ini dalam banyak kementerian, beliau bersedia memikul amanah tersebut terutama bagi memulihkan semula ekonomi negara dan mengatasi masalah pengangguran yang tinggi disebabkan pandemik Covid-19.

Hakikatnya tegas beliau, mana-mana pemimpin dari Sabah atau Sarawak juga layak menjadi Perdana Menteri dan menghapuskan pandangan bahawa jawatan itu hanya untuk pemimpin dari Malaya.

“Jika diberikan peluang dan rakyat mahu saya bersedia membina negara ini dan menyatupadukan rakyat.

“Saya telah berkhidmat di banyak kementerian dan melalui proses tersebut sebagai setiausaha Parlimen, Ahli Parlimen dan juga sebagai menteri.

ADVERTISEMENTREPORT THIS AD

“Maka, jika itu kemahuan rakyat kenapa tidak?,” katanya dalamn program Shafie Apdal Menjawab yang disiarkan secara langsung melalui laman Facebook beliau malam tadi.

Program bual bicara itu menampilkan Naib Ketua Wirawati WARISAN, Jo-Anne Sue Henley Rampas sebagai hos dan mengambil soalan-soalan daripada audien untuk ditanya kepada Mohd. Shafie.

Mohd. Shafie berkata, cadangan untuk beliau dilantik Perdana Menteri bukanlah perkara baharu memandangkang bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan komponen Pakatan Harapan (PH) telah pun mencalonkan beliau tahun lalu.

Justeru katanya, jika perkara itu menjadi realiti, beliau bersedia menggalas tugas dan menempuh setiap cabaran yang mendatang.

“Saya beritahu mereka tunggu sebab mahu mentadbir Sabah terlebih dahulu.

“Tetapi mereka telah mengemukakan cadangan ketika itu, jika mereka mahu seperti itu maka tiada masalah kita perlu menempuh cabaran,” tegasnya.

Tambahnya, setiap pemimpin perlu mempunyai niat yang baik untuk membina semula negara demi perpaduan rakyat seluruh negara.