Oleh: Syifa Amin
Gambaran kerjasama antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) bagi membentuk gabungan politik semakin jelas.
Jawapan yang diberikan melalui siaran langsung Facebook ‘Borak Jam 10’ semalam oleh Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal dan Pengasas MUDA, Syed Saddiq Abdul Rahman seakan mengiyakan kerjasama antara kedua-dua parti tersebut. Mohd Shafie berkata, Warisan dan MUDA adalah satu landasan yang boleh dibentuk bagi membuka ruang untuk membantu melahirkan pimpinan yang ada keupayaan untuk manfaat generasi akan datang.
“Saya mahu mainkan peranan saya dan orang seperti Saddiq juga ada peranannya jadi kita kena saling membantu. Jangan tamak dengan berfikir seseorang akan mengambil alih peranan kita. Sampai bila hendak bertahan, kadang kala bila berada di atas (berjawatan) tiada had tetapi di bawah ditetapkan had umur. “Atas sebab itu, kita kena mewujudkan satu sistem sebab itu sejak awal saya suka menggalakkan orang muda untuk berjaya dan terlibat dalam politik,” katanya.
Ahli Parlimen Semporna ini berkata, beliau sudah berbincang dengan Saddiq dan beliau amat mengagumi bakat anak-anak muda dalam politik. Bagaimanapun, kena ada bimbingan daripada pemimpin yang berpengalaman. “Kita boleh benarkan mereka (anak muda) melakukan apa mereka mahu namun dalam masa sama, kita kena menasihatkan mereka sekiranya mereka terbabas dan beri panduan. Kita perlu bersedia jika ingin mewujudkan sebuah negara yang mempunyai daya saing cukup hebat,” ujarnya.
Mohd Shafie, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang ini berkata, usaha memperkasa anak muda menjadi keutamaan dalam Warisan dan ianya terbukti dengan lantikan pemimpin-pemimpin muda seperti Datuk Darell Leiking, Datuk Mohd Azis Jamman, Isnaraissah Munirah Majilis dalam Kabinet Persekutuan. Malah, ketika beliau Pengerusi Komanwel Dunia dan semasa berada dalam UMNO pun, beliau banyak memberi galakan kepada anak muda seperti Noraini Ahmad yang kini Menteri Pendidikan Tinggi; Datuk Seri Dr. Adham Baba (Menteri Kesihatan) serta Khairy Jamaluddin (Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi). Katanya, generasi pelapis dalam kepimpinan negara amat penting bagi melahirkan sebuah negara membangun. Sementara itu, Syed Saddiq selaku Ahli Parlimen Muar ketika menjawab persoalan gabungan Warisan-MUDA berkata, nantikan sahaja pengumumannya. Katanya, jika dilihat corak politik yang dibawa Datuk Seri Mohd Shafie, ia sangat baik untuk Malaysia kerana sukar untuk melihat pemimpin di peringkat tertinggi seperti Datuk Seri yang secara terbuka menerima konsep Malaysia sebagai negara berbilang bangsa dan agama.
Beliau berkata, konsep Unity atau Perpaduan yang diperjuangkan di Sabah amat berjaya dan sebagai rakyat, beliau melihat keadaan itu akan mendatangkan kebaikan untuk Malaysia. “Kita kena menubuhkan satu landasan yang berbilang bangsa, fahaman yang sederhana serta fokus kepada pembaharuan dasar negara dan bukannya berdasarkan personaliti pemimpin politik. “Saya yakin dengan melihat preastasi yang dilakukan Datuk Seri di Sabah, konsep Unity ini bagus untuk semua rakyat Malaysia,” ujarnya.