
Presiden Warisan, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal telah mendedahkan bahawa bekas Ketua Penerangan Warisan, Datuk Dr. Yusof Yacob telah mengguna wang untuk menyogok dan mempengaruhi wakil-wakil rakyat lain untuk berpaling tadah bersamanya.
“Kami dimaklumkan oleh beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri Parti Warisan, beliau (Dr. Yusof) turut mempengaruhi mereka untuk keluar parti dan menawarkan sejumlah wang yang banyak untuk menyertai parti Gabungan Rakyat Sabah (GRS).”
“Parti Warisan tidak pernah berkompromi dan menentang sekeras-kerasnya budaya lompat
parti dengan cara penyogokan wang dan pangkat sama ada di peringkat negeri atau Pusat,” kata Shafie dalam sebuah kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.
Berkenaan alasan yang diguna untuk Dr. Yusof berpaling tadah, Shafie berkata Dr. Yusof tidak wajar mengguna alasan sedemikian kerana telah diberi peluang dan ruang secukupnya untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Yusof tidak wajar menggunakan alasan keputusan ini dibuat demi meneruskan
khidmat kepada Rakyat setempat.”
“Ini adalah kerana beliau sendiri sebelum ini telah diberi jawatan penting dalam Kabinet negeri iaitu sebagai Menteri Pendidikan dan Inovasi.”
“Malah, kedudukan beliau sebagai Ketua Penerangan Parti telah membolehkan beliau menyertai perbincangan dan mesyuarat penting termasuk Mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan dan juga Mesyuarat Pasca Majlis Raja-Raja bersama dengan Menteri Besar, sama ada mengiringi atau mewakili Presiden parti.”
Dalam pada itu, Shafie meminta semua ahli dan penyokong serta kepimpinan di semua Bahagian supaya bertenang dan kekal setia dengan perjuangan asal Warisan, iaitu menentang kleptokrasi, mengembalikan hak rakyat Sabah dan memperjuangkan kesaksamaan merentasi perbezaan kaum, bangsa atau agama, selaras dengan matlamat Warisan sebagai parti yang membawa suara dan mewakili pelbagai bangsa.
Sumber inisabahbah.com
Anda perlu berdaftar masuk untuk meninggalkan komen.