OLEH PEMBERITA SABAHTODAY
KOTA KINABALU: Parti Warisan Sabah (WARISAN) menyembah maklum dan menjunjung kasih perkenan Yang DiPertuan Agong dalam proklamasi Darurat di seluruh negara berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021.
Presiden WARISAN, Datuk Seri Panglima Haji Mohd. Shafie Apdal (gambar) berkata, peruntukan memang wujud dalam Perlembagaan Persekutuan untuk proklamasi Darurat itu diisytiharkan.
“Tetapi peruntukan tersebut perlu dilaksanakan dengan bertanggungjawab. Ia mesti digunakan demi manfaat negara ini dan rakyatnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Shafie berkata, motif Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam menasihatkan Agong untuk pelaksanaan Darurat lebih bersifat politik dan sebab-sebab yang dinyatakan juga tidak boleh diterima.
“Undang-undang sedia ada cukup untuk berdepan dengan pandemik Covid-19. Jika ada keperluan meminda Perlembagaan Persekutuan untuk mengelakkan pilihan raya negeri Sarawak atau pilihan raya kecil semasa pandemik, Kerajaan Perikatan Nasional (PN) boleh berunding dengan pembangkang untuk mendapatkan dua pertiga majoriti.
“Jika ada keperluan mewujudkan perundangan bagi Covid-19, kerajaan sepatutnya berunding dengan pembangkang, bukannya mengisytiharkan Darurat.
“Semua pemimpin poilitik daripada kedua-dua pihak boleh bersetuju mengadakan gencatan agar pilihan raya tidak diadakan.
“Darurat perlu dihentikan agar demokrasi berparlimen dapat dikembalikan dalam masa terdekat melalui rundingan damai antara pemimpin politik bagi mengelakkan pilihan raya semasa pandemik Covid-19,” katanya.
Shafie menjelaskan, Darurat bukanlah pilihan tepat untuk mengawal penularan Covid-19 kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sudah ada dan dilaksanakan.
“Pelaksanaan Darurat yang boleh menyebabkan salah guna kuasa tidak sesuai dan keadaan semasa juga tidak memerlukan Darurat. Faktor utama pelaksanaan Darurat ialah wujud ancaman terhadap keselamatan negara, ekonomi, dan kehidupan awam.
“Pelaksanaan PKP, PKPB dan PKPP oleh Kerajaan PN sebelum ini membuktikan ancaman terhadap keselamatan negara sebenarnya tidak wujud,” tegas beliau.
Beberapa negara yang mengambil langkah kawalan seperti PKP di Malaysia telah terbukti berjaya mengawal Covid-19 seperti Hong Kong, Japan, New Zealand, Singapore, Korea Selatan, dan Germany, Norway serta Sepanyol di Eropah.
Lebih-lebih lagi, semasa Darurat, debat untuk mewujudkan polisi dan perundangan negara atau mana-mana negeri bukan lagi menjadi keutamaan Parlimen sehingga 1 Ogos 2021.
“Kuasa Darurat juga boleh menafikan hak dalam Perlembagaan setiap individu di negara ini,” katanya.
Beliau juga berkata, pengumuman Darurat turut memberitahu dunia bahawa Malaysia mempunyai sebuah kerajaan yang tidak stabil, justeru pelabur luar tidak berminat melabur menyebabkan ekonomi kita terjejas.
Sehubungan itu, Shafie mengingatkan bahawa komuniti perniagaan telah pun terjejas teruk akibat sekatan semasa pandemik, malah ramai yang telah kehilangan sumber mata pencarian manakala perniagaan seperti perhotelan terpaksa di tutup.
“Atas sebab itu saya menyeru agar kerajaan minoriti ini membetulkan keadaan dan lakukan perkara yang tepat. Kita mesti membina negara untuk semua, bukan untuk individu, parti politik, bangsa atau agama,” tegas beliau.
Anda perlu berdaftar masuk untuk meninggalkan komen.